Wednesday, August 5, 2009

Program Sembelihan di SMSS







KUALA LUMPUR : Persatuan Pelajar-Pelajar Islam dengan kerjasama Panatia Pendidikan Islam Sekolah Menengah Sains Selangor telah mengadakan program sembelihan untuk pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 dalam usaha menanamkan keyakinan diri dan sikap berdikari dalam diri pelajar.



Program yang telah diadakan pada 18 Julai yang lalu telah dirasmikan oleh Pengetua Sekolah Menengah Sains Selangor iaitu Tuan Haji Nor Paizin bin Ibrahim dan turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa PIBG dan guru-guru.



Menurut guru penasihat Persatuan Pelajar-Pelajar Islam, Sekolah Menengah Sains Selangor, Ustaz Syamzulani bin Mat Jusoh, program ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan kepada para pelajar-pelajar Islam mengenai teknik penyembelihan ayam yang betul selain untuk mendidik pelajar supaya berdikari dan berkeyakinan dalam melakukan sesuatu perkara.



Program ini juga merupakan salah satu aktiviti tahunan Persatuan Pelajar-Pelajar Islam di sekolah ini dan pada tahun ini sebanyak 250 ekor ayam telah disediakan bagi menjayakan program di atas.



Hampir kesemua pelajar yang ditemui berkata program ini amat bermakna kerana inilah pertama kali mereka melaksanakan proses sembelihan ayam dan mereka berasa sangat gembira kerana diberikan peluang oleh pihak sekolah.



Kesemua ayam yang telah disembelih kemudiannya dibersihkan dan dihantar ke dewan makan sekolah untuk dimasak sebagai hidangan tengahari pada hari tersebut.