Saturday, October 18, 2008

Kursus Pembangunan Staf Siri 7, 2008 SBPI Kubang Pasu


Kursus / Bengkel Pembinaan Pelan Pendidikan SBP peringkat SBPIKP (PPSBP, SBPIKP) 2008 – 2015

Seramai 20 orang guru termasuk Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran dan Penolong Kanan Kokurikulum telah menghadiri Kursus / Bengkel Pembinaan Pelan Pendidikan SBP peringkat SBPIKP yang telah diadakan di Executives Develoment Centre (EDC), Universiti Utara Malaysia, Sintok. Kursus yang diadakan pada 18 Oktober 2008 ini bertujuan memurnikan pelan pendidikan SBPIKP mengikut kerangka Pelan Pendidikan SBP 2008 – 2015. Selain itu, kursus ini juga bertujuan membina hala tuju baharu sekolah dengan menyediakan visi baharu selepas visi pertama – SBPI Kubang Pasu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan pembangunan insan menjelang 2008 tercapai. Pembinaan visi ini juga bertepatan dengan hala tuju baharu SBP berasaskan kerangka Pelan Pendidikan SBP.

Kursus ini telah diadakan dalam tiga sesi, iaitu sesi taklimat tentang hala tuju dan dasar SBP seperti mana yang terkandung dalam Pelan Pendidikan SBP 2008 – 2015. Pada masa ini juga, pembentukan visi baharu SBPI Kubang Pasu dibuat. Sesi kedua (10.30 – 12.30 tengah hari) ialah bengkel dalam kumpulan. Terdapat lima kumpulan pengkhususan yang telah diwujudkan iaitu bidang pentadbiran dan pengurusan, bidang Kurikulum, bidang Hal Ehwal Murid, bidang Kokurikulum, dan bidang Pengurusan Personel. Bengkel ini dikendalikan oleh guru-guru yang telah mengikuti Konvensyen SBP yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini. Dalam sesi ketiga ( 2.00 – 4.30 ptg), pembentangan hasil perbengkelan diadakan. Pada ketika ini juga, pemurnian idea telah dijalan antara peserta bagi menghasilkan satu pelan pendidikan yang komprehensif dan menepati visi SBP dan sekolah.



Kursus yang menelan belanja RM 900.00 ini telah mendapat respons yang memberangsangkan dengan sumbangan idea dan pemikiran kritis daripada semua peserta. Diharapkan kursus / bengkel ini berjaya membawa hala tuju baharu SBPI Kubang Pasu sehingga ke tahun 2015.