Tuesday, April 29, 2008

LDP SBPI Kubang Pasu Siri 1/2008 (Pengurusan Headcount)

Pada 22, 23 dan 24 April 2008, Jawatankuasa Pembangunan Staf SBPIKP telah menganjurkan Latihan Dalam Perkhidmatan Siri 1/2008. Kursus yang memberikan pendedahan terhadap aspek 'headcount' ini telah diadakan dua jam setiap sesi di Bilik Mesyuarat al-Syura dan Makmal Komputer Ibn Taymiyah 1, SBPIKP.

Seramai 46 orang guru SBPIKP berjaya menghabiskan ketiga-tiga sesi latihan bagi melayakkan mereka menerima sijil kursus. Kursus ini diadakan sebagai memenuhi sebahagian tuntutan budaya kerja SBP yang menekankan aspek potensi murid dalam pembinaan karakter pelajar cemerlang. Secara amnya, kursus ini bertujuan memberi kefahaman kepada guru-guru tentang tujuan, objektif dan kepentingan head count dalam merancang strategi P&P serta meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Selain itu, kursus ini juga bertujuan membudayakan ‘head count’ dalam tugas harian sebagai pendidik selain matlamat akhirnya, memasukkan data yang lengkap dan sah bagi setiap pelajar oleh setiap guru mata pelajaran.

Sebanyak tiga sesi telah diadakan bagi melengkapkan kursus ini. Sesi pertama dijalankan pada 22 April 2008 di Bilik Mesyuarat al-Syura SBPIKP. Sesi yang bertajuk "Headcount : Pengenalan" telah diberikan oleh Pn. Faridah bt Ibrahim, Guru Kanan Teknik & Vokasional SBPIKP. Dalam sesi ini, beliau menekankan tujuan dan matlamat 'head count' diwujudkan, khususnya dalam mencapai sasaran akademik pelajar.

Sementara itu, pada Sesi Kedua (23 April 2008), En. Wan Muhammad Nasri Wan Ab. Rahman (Pemangku Guru Kanan Sains & Matematik) menekankan aspek pengendalian 'headcount'. Pembentangan yang dijalankan secara santai ini mengundang reaksi positif guru-guru yang hadir. Pelbagai pertanyaan diajukan kepada beliau, terutama cara dan kaedah pengiraan 'headcount' serta bagaimana untuk mengenal pasti sasaran setiap murid.

Penjelasan En. Wan Muhammad Nasri memberi maklumat penting kepada semua guru, apabila dalam Sesi Ketiga latihan ini, iaitu pada 24 April 2008, semua guru telah berjaya memasukkan data yang absah setiap pelajar berdasarkan perkiraan merit dan keupayaan mereka, bukan berdasarkan persepsi guru atau murid tersebut.

LDP yang dijalankan pada setiap petang mulai pukul 2.45 ini telah berjaya mencapai objektif-objektifnya. Kursus yang menelan belanja sebanyak RM 788.00 ini diharapkan menjadi mangkin ke arah kecemerlangan SBPIKP bagi merealisasikan wawasannya : SBPI Kubang Pasu sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Pembangunan Insan Menjelang 2008.

Disediakan oleh:

Ariffin bin Salleh,
Setiausaha,
Jawatankuasa Pembangunan Staf,
SBPIKP.