Monday, July 28, 2008

LAPORAN LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN SAMURA SIRI 5




Pada hari Sabtu 19 Julai 2008 seramai 64 orang guru SM Sains Muar Johor (SAMURA) telah menghadiri Kursus Jati Diri untuk semua guru yang diadakan di Dewan Besar SAMURA. Kursus bermula pukul 8.00 pagi dan berakhir pukul 4.30 petang.

Kursus ini diharap dapat meningkatkan lagi kecemerlangan pembangunan diri (self development), keazaman dan memantapkan organisasi pembelajaran agar dapat melahirkan guru berkeyakinan tinggi dan mempunyai jati diri yang utuh.

Kursus dimulai pada pukul 8.00 pagi dengan Slot 1 iaitu Akhlak dan Ketrampilan yang disampaikan oleh Penceramah Bergitar, En. Mohd Radzi bin Omar. Penceramah merupakan kakitangan kerajaan di Ibu Pejabat BPR Malaysia di Putrajaya. Beliau menggunakan pendekatan hiburan berinformasi dan berjaya menarik minat para peserta dengan kelainan yang ditampilkannya.

Kursus diteruskan lagi dengan Slot 2 selepas rehat. Slot diisi dengan ceramah bertajuk Azam: Misi dan Visi. Antara pengisian ceramah ialah bagaimana azam harus ditanamkan bagi mencapai misi dan visi.

Pada pukul 2.00 petang kursus diteruskan dengan Slot 3 iaitu ceramah bertajuk Mengawal Emosi. Keseluruhan ceramah yang disampaikan berjaya menarik minat para peserta. Kursus yang diadakan ini diharap dapat meningkatkan motivasi, keyakinan diri dan kesedaran yang utuh kepada guru agar dapat melaksanakan tugas dan menggunakan segala pengetahuan dan kemahiran untuk memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran demi mencapai misi sekolah, mengeratkan silaturrahim dikalangan guru-guru dan memantapkan budaya kerja berpasukan.

Kursus yang telah melibatkan kos sebanyak RM1224.00 ini diharap berjaya mencapai objektifnya.